Ajal. Tidak boleh ditebak (di predict) kapan tibanya. Boleh datang pada bila-bila masa sahaja, tidak kira apa pun keadaan kita semua pada ketika itu. Takutkah engkau dengan kematian?
"Takut," bisikku kepada diri sendiri.
Masakan tidak. Bersendirian di liang lahad, tanpa ada sedikit pun cahaya yang menerangi tempat rehat yang menanti setelah nyawa diambil oleh malaikatNYA. Tidak ada torch light, tidak ada cahaya matahari, gelap, gelap dan sepi tanpa teman di sisi. Hanya doa dan bekalan amal yang menjadi kawan ketika itu.
Kelmarin aku mendapat tarbiyah ataupun peringatan yang cukup berkesan di hati melalui kematian salah seorang jiran tetanggaku. Aku dikabarkan bahawa dia meninggal atas faktor penyakit. Pada pagi itu, ibu ku mengajakku untuk ke rumah almarhum, bagi menziarahi keluarganya. Aku pun lekas bangkit dari tidur, dan bersiap-siap.
Ketika kami tiba di rumah almarhum, jenazah sudah pun dimasukkan ke dalam van jenazah, untuk dibawa ke surau berdekatan, untuk dimandikan serta disolatkan. Ayahku yang sudahpun berada di rumah tersebut terlebih dahulu, mengajak aku dan ibuku untuk turut pergi ke surau. Sebelum van jenazah tu bertolak, ada seorang lelaki (mungkin orang pengurusan jenazah), bertanya kepada semua yang berada di situ,
"Ada yang nak ikut sekali tak naik van ni, ke surau?"
Kami semua saling memandang. Semua menggeleng.
Lepas tu, pintu van terus ditutup, dan van tersebut pun bertolak. Time tu, terdetik kat dalam hati bahawa kemungkinan ada segelintir yang merasa takut untuk bersendirian dengan jenazah dalam van tersebut. Termasuk aku. Tapi mungkin juga masing2 ingin menaiki kenderaan mereka.
Kemudian, tibanya kami di surau, ayah menyuruh aku untuk turut serta dalam pengurusan jenazah, lebih-lebih lagi kelihatannya kami kekurangan orang. Mungkin sanak saudaranya tidak ramai, ataupun belum sampai pada ketika itu. Aku hanya mengangguk. Aku seperti =.='' sendiri, kerana merasa kurang yakin dan agak seram untuk memandikan jenazah.
Ketika sedang menunggu barang2 yang akan digunakan untuk memandikan jenazah itu tiba, kami semua duduk sekeliling keranda, dan membacakan yasin. Aku duduk betul2 di hadapan keranda tersebut. Sebelum bacaan Yasin dimulakan, tiba-tiba datang dua orang wanita, membuka keranda tersebut. Maka terlihatlah sekujur tubuh dibalut kain putih, betul-betul dihadapanku. Aku merasa takut. Tubuhku menggeletar, dan aku merasa ingin pitam, lebih-lebih lagi tubuhku belum menghadam apa-apa makanan sejak malam sebelumnya. Aku pun tidak habis pikir kenapa aku merasa begitu takut, mungkin jarang berhadapan dengan orang yang sudah meninggal dunia.
Setelah Surah Yasin habis dibacakan, aku dan ibuku pulang. Aku tidak ikut serta dalam memandikan jenazah kerana sanak saudaranya sudah pun ramai, dan cukup untuk ikut membantu. Tapi hari tersebut membawa seribu satu peringatan kepada diriku.
Mungkin ketika kita hidup, kita disukai ramai dan dikelillingi oleh ramai kawan, tetapi tatkala kita sudah pergi, mungkinkah ada orang yang akan mendoakan kita? Adakah kawan-kawan kita akan turut serta untuk memandikan dan menshalatkan kita? Ataupun mereka akan menghilangkan diri dan sibuk dengan hal masing-masing? Kita tidak akan pernah mengetahuinya. Ini adalah peringatan kepada diri sendiri. Tiada siapa yang dapat menolongmu ketika engkau sudah pergi, melainkan amalmu dan doa-doa mereka yang turut bakal menyusulimu ke kubur.
No comments:
Post a Comment