"Islam itu ibarat roda, ada masanya di atas, ada masanya di bawah. Kita harus berputar sekali seiring dengan naik dan turunnya Islam"
Kata-kata Ustad tempoh hari masih berlegar legar di ruang fikiranku. Apakah yang dimaksudkan dengan berputar sekali dengan Islam? Adakah dengan jatuhnya posisi Islam dalam carta hati masyarakat bermaksud semangat kita harus turut kecundang?
Begini. Ustad sambung lagi. Tidak kira lah Islam itu ada di atas atau di bawah, kita harus tetap memperjuangkannya. Harus tetap berjuang sampai bila-bila. Kalah menang itu kerja Allah, bukan kerja kita. Kalau bukan menang sekarang, kemenangan itu kelak akan datang menyusul. Kemenangan milik Islam itu satu kepastian, satu janji dari Allah. Kalau janji itu datangnya dari Allah, sudah pasti kepastiannya tidak dapat dipandang enteng.
Pergh ayat.
Ustad bilang kita sekarang berada dalam zaman kelabu asap, di mana Quran itu di depan mata kita, tetapi orang masih gagal untuk mengerti apa itu Islam. Pahit tetapi benar. Orang jahil agama menjadi rujukan, artis menjadi teladan, ulamak disempadankan.
Teringat curahan hati seorang gadis, di corong radio, kepada Ustaz jemputan Ikim Fm pagi tadi. Tajuk slot tersebut adalah taubat.
" Ustad, macam mana ek kalau da bertaubat, lepas tu ulang balik kesalahan yang sama. Macam saya, saya dah berpisah dengan teman lelaki saya, lepas tu buat lagi benda sama. Dah berapa kali terlanjur. Saya tahu benda ni salah, tapi .." Dia berhenti dan kemudian terdengar suaranya nangis teresak-esak.
Aku tergamam. Simpati, terkejut, sedih, semuanya saling berbaur. Terdiam seketika. Tatkala kita berada dalam comfort zone, ada orang di luar sana yang berjuang melawan kejahilan namun tetap kecundang. Dimanakah silapnya?
Bagaimanakah kita expect kemenangan itu untuk datang, tatkala masyarakat kita masih seronok bergelumang dalam kejahilan?
Ustaz tambah, dalam perjuangan ini, jikalau ditakdirkan Islam itu menang sekarang, segala jenis sebab kemenangan akan datang dengan sendirinya. Bukan Islam itu menang kerana usaha kita. Jika bukan masanya untuk Islam menang, pelbagai usaha yang dilakukan pun tidak akan menyebabkan Islam itu menang.
Nabi Musa pernah suatu ketika dahulu ingin membuka tanah Palestine. Namun usahanya gagal walaupun sudah dicuba beberapa kali. Setelah kewafatannya, Bani Israel telah menemui seorang nabi dan memintanya agar berdoa kepada Allah supaya Allah melantik seorang raja dalam kalangan mereka, yang dapat mengetuai peperangan terhadap tentera Jalut yang ganas.
Kemudian dikabarkan oleh nabi tersebut kepada Bani Israel bahawa seorang hamba Allah bernama Talut telah pun diangkat oleh Allah sebagai raja mereka. Dia merupakan hamba Allah yang sangat sederhana, tidak berasal dari golongan yang kaya, namun mempunyai pengetahuan ilmu yang amat luas.
Dia, Talut, yang sederhana inilah yang berjaya menumpaskan tentera Jalut yang ganas itu, dimana tentera mereka mencecah ratusan ribu bilangannya. Sedangkan pada ketika itu, tentera bawah pimpinan Talut hanyalah 7 ribu. Ustad bertanya, jika hendak dibandingkan Nabi Musa dengan Talut, siapa lebih hebat? Sudah tentulah Nabi Musa, kerana beliau merupakan seorang nabi, malah dikurniakan mukjizat oleh Allah. Tetapi kenapa Nabi Musa gagal untuk membuka Palestine sedangkan Talut manusia yang serba biasa berjaya mengalahkan tentera Jalut yang begitu digeruni pada ketika itu?
One answer, kerana pada zaman Nabi Musa, belum masanya lagi untuk kemenangan berpihak pada tentera Islam walaupun mereka sudah ada cukup kelayakan untuk menang.
Kemenangan akan tiba, mungkin bukan ketika itu. Di sepanjang proses kemenangan itu, Allah akan tapis siapa yang benar-benar layak untuk menyumbang kepada kemenangan Islam.
Contohnya, Ustaz share ayat 2: 249,
| Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikut, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yaqin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang yang sabar". |
Based on ayat di atas, tatkala tentera Talut ingin pergi berperang, mereka diuji dengan satu sungai, dimana mereka hanya dibenarkan untuk minum sekadar sebanyak seceduk tangan. Ramai sekali di antara mereka yang minum lebih dari itu, dan tidak mampu untuk meneruskan perjalanan mereka menemui pihak lawan.
Begitulah tapisan Allah. Tentera yang benar-benar jelas akan matlamat mereka lulus ujian tersebut justeru mempunyai cukup kelayakan untuk berlawan dengan tentera musuh yang begitu ramai. Sedikitnya bilangan mereka bukanlah bererti mereka lemah dan tidak berkemampuan untuk menang kerana Allah akan memberi pertolongan kepada yang betul-betul memperjuangkan agamaNya.
Buktinya, Jalut yang begitu gagah perkasa, mati dengan serta merta apabila dahinya dibaling seketul batu oleh salah seorang dari tentera Talut, iaitu Nabi Daud. Bunyi seperti luar logik akal manusia, tetapi begitulah kekuasaan Allah, Dia saja yang berkuasa untuk memenangkan siapa sahaja yang dikehendakiNya.
Moral of the story, kalah menang itu urusan Allah, jangan ditanya bila kemenangan itu akan sampai, tetapi kita harus menanyakan kepada diri sendiri, apakah yang kita telah lakukan untuk menyumbang kepada kemenangan itu?
Ustad juga tambah lagi bahawa dalam perjuangan ini, jangan kita mencari kelemahan dari pihak musuh, tetapi hendaklah kita mencari kekuatan dari pihak sendiri. Sesungguhnya kejahilan yang tersusun dapat mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun.
Matlamat perjuangan kita juga harus jelas, tidak lain untuk memperjuangkan agamaNya. Untuk tegakkan syariat Islam. Untuk meletakkan kembali Islam di tempatnya. Untuk menegakkan hukum-hukum Allah, yang barangkali belum tertegak.
Mulianya perjuangan kita bukan kerana kemenangan, tetapi kerana matlamat perjuangan kita. Fisabilillah insyaAllah.
MasyaAllah emi....teramat awesome sgt post awak ni...jom berputar bersama :')
ReplyDelete