Aku melangkah perlahan, sambil melihat pohon-pohon yang sudah kering, tanpa daun-daun hijau. Hanya tinggal ranting. Dingin sekali. Langit kelihatan gelap. Hidup terasa suram, tanpa cahaya matahari.
Pelbagai perkara bermain di minda. Tenggelam dalam lautan tugasan, jarang sekali aku mengucap syukur. Tenggelam dalam kesedihan. Kepenatan. Sebelum tidur, pasti disusuli dulu dengan tangisan. Bukan tangisan menangisi kanak-kanak syria, tangisan keduniaan.
Merasa sendirian. Merasa tiada yang ingin mengerti. Merasa tiada kekuatan.
Merasa jauh dariNya sehingga hati keras membeku.
Ada hati yang terluka. Ada yang merajuk. Ada yang tidak ingin berbicara. Ada yang emo.
Dan aku masih tenggelam dalam urusan yang tidak berkesudahan.
Aku tersepit.
Rasa mahu menangis di tengah-tengah Dunnes.
Aku pun melangkah ke Bayyinah, dia membuka pintu dan menyambutku dengan senyuman. Dah lama tak tengok orang senyum, sejak minggu exams ni.
Sahabat perjuangan lain pun memenuhi ruang kamar kak usrah. Semua tersenyum.
"Hepi sangat hari ni" kata seorang sahabat sambil tersenyum manis.
"Kenapa?" aku bertanya.
"Hepi dapat jumpa korang. Dah lama tak berkumpul macam ni. Rindu usrah"
Hari ini tiada usrah, cuma sesi melawat kak usrah sambil berkumpul dengan rakan-rakan seperjuangan. Aku seperti segar kembali. Setiap kali berjumpa, pasti sahaja aku diingatkan tentang perjuangan ini. Sahabatku sempat menceritakan tentang Zainab Ghazali, penulis buku "Hari-hari dalam hidupku" yang disiksa berat oleh pemerintah Mesir suatu ketika dahulu. Ceritanya begitu berbekas di hati, terutama apabila Zainab pernah bermimpi bertemu Rasulullah, dan Rasulullah berkata kepadanya, "kamu berada di jalan yang benar".
Zainab yang merupakan ketua Jamaah Muslimat, bawah Ikhwanul Muslimin, yang begitu serius dengan dakwah, pernah memberi syarat kepada lelaki yang ingin berkahwin dengannya, dengan berkata,
“....Mari kita berjanji, sepenuhnya antara lelaki & wanita, wanita pada umur 18, memberikan keseluruhan hidupnya untuk Allah dan dakwah. Sekiranya ada pertembungan antara kontrak perkahwinan ini dan dakwah, maka perkahwinan kita akan tamat. Tetapi dakwah akan sentiasa bertunjang dalam diriku....”
Sentap.
Sebelum pulang, kak usrah sempat memberikan taujihat kepada kami, sebelum kami berjaulah. Kata-kata yang cukup menyentuh hati.
Satu perkara yang aku kagum tentang kak usrah ku. Dia agak berbeza dari kakak usrah sebelum ini. Kata-katanya kadangkala keras, tetapi seringkali menusuk ke hati. Aku boleh melihat kesungguhannya melalui matanya, ketika dia berbicara. Dari luar kelihatan garang, tetapi hatinya lembut dan sangat sayang akan jalan dakwah ini.
Dia menceritakan tentang seorang sahabatnya, yang turut berada dalam jalan perjuangan ini, yang telah pun menemui Illahi. Sahabatnya itu menghidapi cancer lymphoma, dan telah meninggal 3 tahun yang lalu. Dia merupakan timbalan presiden dalam jemaah. Walaupun dia sedang mendapat rawatan chemo, dia tetap datang ke program, malah sebagai faci.
Selain itu, walaupun setiap hari harus menjalani rawatan intensif, dia yang berjiwa tegar, belajar bersungguh-sungguh dan sempat graduate bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain. Sedangkan pihak uni telah pun memberi kebenaran kepadanya untuk sambung pembelajarannya pada tahun berikutnya untuk memberi laluan kepada rawatan chemo.
Pada suatu hari, dia telah pun disahkan oleh doktor sudah sembuh total dari penyakitnya, tapi penyakit itu kembali datang menyerang. Kemudian sembuh lagi. Kemudian dia diserang lagi oleh penyakit yang sama. Akhirnya, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, di samping keluarganya yang tersayang.
Peninggalannya dirasai oleh ramai orang, terutama sekali yang sudah biasa melihatnya di program. Dia juga seorang penulis blog, blognya sering dinantikan oleh kawan-kawannya (klik di sini untuk membacanya>> Blog Mas ). Setelah dia pergi, blognya kini dikendalikan oleh ibunya sendiri.
Kadang-kadang cerita yang berkait dengan kematian seringkali menjadi pembangkit kepada iman yang lesu. Bagaimana tidak, kematian membuatkan kita berfikir bahawa kesedihan tentang perkara yang berkait dengan keduniaan tidak akan membawa apa-apa erti. Kehidupan di dunia tidak akan kekal. Tiada gunanya kamu bersedih dek kerana perihal dunia!
Bangkitlah. Bangkitlah. Dengan nama Tuhanmu, bangkitlah dan kuatkan semangatmu.
No comments:
Post a Comment