Fuh jantung berdegup kencang. Nafas berombak. Hmm exams syndrome rupanya. Makin lama makin dekat.
Aku merasa begitu berat. Dalam bulan ini sahaja, setiap minggu jadual aku sentiasa penuh dengan program. Kalau tidak ke daurah, program di lokaliti sendiri. Tetapi tidak tahu kenapa, walau berat bagaimana pun, aku teruskan sahaja menguatkan diriku. Lagipun aku sentiasa teringat akan kata-kata seorang akak yang aku kenali, "kita akan sentiasa sibuk, kalau tidak sibuk dengan kerja2 Islam, kita akan sibuk dengan kerja lain yang tidak berfaedah, jadi lebih baik sibuk dengan kerja2 Islam"
"Jagalah Allah, dan Allah akan menjagamu"
Haa yang ni ayat yang dah biasa kita dengar.
Ayat "keberkatan masa" pun selalu aku dengar, lagi-lagi kalau dah nak dekat exams.
Memang agak cliche, kadang-kadang kalau kita selalu dengar, hati pun dah tak terusik. Teruk betul rasa.
Lalu aku pun bertolak pada malam yang begitu dingin itu. Jalan yang berliku liku menyebabkan beberapa orang sahabat muntah-muntah. Dalam bas, dah terfikir nota-nota yang tak habis hadam lagi. Uwargh. Takpe-takpe, All iz well, All iz well. Aku berkata sendiri.
Program minggu ini begitu menarik, khusus tentang wanita. Perjuangan seorang wanita dalam berdakwah, fiqh wanita, ukhuwah, kisah-kisah sahabat dan tokoh-tokoh Islam yang juga adalah wanita, kehidupan seorang isteri dari seorang pendakwah, ehem keluarga Islam. Ada dua topik besar yang dikongsi dalam program kali ini, dakwah dan ukhuwah.
Sebut mengenai dakwah kan, mesti semua orang pun sudah sedia maklum. Dakwah bermaksud ajakan, seruan, pujukan untuk mengajak kepada Allah. Wasilah dakwah adalah melalui perkataan dan perbuatan.
Lisan al-hal afsah min lisan al-maqal!
Ingat pepatah Arab ni molek-molek. Ertinya, tindakan lebih baik daripada perkataan semata-mata.
Ada satu kisah yang dicerita oleh Ustad mengenai kisah golongan 7 puluh ribu orang yang masuk syurga tanpa dihisab dan diazab di akhirat kelak. Rasulullah menceritakan tentang golongan ini kepada para sahabat, sehingga mereka bertanya sesama sendiri, siapakah yang akan termasuk dalam golongan tersebut.
Melihat kepada perbincangan mereka, Rasulullah bertanya, "apakah yang kalian sedang bincangkan?"
Mereka menjawab, "siapakah orang yang berada dalam golongan yang engkau maksudkan, ya Rasulullah?"
Rasulullah menjawab,
" mereka ini tidak menggunakan jampi mentera,
mereka tidak meramalkan perkara-perkara buruk (buat ramalan),
dan mereka bertawakkal kepada Allah"
Setelah mendengar penjelasan dari Rasulullah, salah seorang sahabat yang bernama Ukkasyah terus meminta kepada Rasulullah akan berdoa kepada Allah agar dia dimasukkan ke dalam golongan tersebut. Rasulullah mengabulkan permintaanya dan berkata, Ukkasyah sudah pun termasuk dalam golongan tersebut. Subhanallah.
Pengajarannya di sini, jika ada kebaikan yang kita inginkan, hendaklah kita lakukannya dengan segera. Rugi kalau lambat.
Waktu program, ada satu slot dedication di mana kita bercakap tentang sahabat akhirat. Seorang individu akan bercerita tentang seorang sahabat di mana dia ingin sekali berjumpa di akhirat kelak. Setelah berbicara tentang sahabat tersebut, dia akan memaklumkan siapa sahabat tersebut, dan sahabat yang dedicate tersebut akan memberi bunga ros kepada sahabat yang di dedicate itu sambil berkata 'ana uhibuki fillah" Seperti satu bentuk penghargaan.
Aku ada sahabat yang aku kira cukup rapat, namanya X. Satu sahabat lagi yang aku rapat dan dekat di hati, namanya Y. Dijadikan cerita, X mendedicate sahabat akhiratnya kepada Y. Waktu X bercerita tentang Y, tidak tahu kenapa mataku berair. Cemburu? Masakan begitu (Boo!). Dari dulu pun bab dedication memang tak pernah dapat (ayat sedih). Dah immune!
Aku teringat, X berkata "bila ana lihat dia, ana teringat Allah. Dia tidak menegur ana dengan kata-kata. Dia menegur ana dengan perbuatan dia"
Aku menangis, senyap-senyap. Duduk tepi dinding, berdiam diri, muhasabah diri sebentar. Terkilan sebab terasa bahawa tidak ada sahabat yang apabila mereka melihatku, mereka teringat Allah. Salah diri sendiri, Emi!
Berkata mengenai ukhuwah, ukhuwah adalah anugerah yang Allah beri kepada umat Islam. Ia merupakan kaedah yang paling afdal untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hassan Al Banna mengatakan bahawa, ukhuwah adalah apabila hati dan jiwa bertaut kepada akidah. Itulah ukhuwah Islamiah. Ustad berkata, ukhuwah itu lebih kuat dari ikatan kekeluargaan, kerana ukhuwah itu terjalin oleh kerana ikatan akidah. Buktinya, jika seseorang muslim itu mati, dan anak-anaknya bukanlah beragama Islam, harta nya tidak dapat diwarisi oleh anak-anaknya yang bukan beragama Islam tersebut, dan akan diambil oleh BaitulMal untuk diagihkan kepada orang Islam lain, yang memerlukan. Ini menunjukkan betapa kuatnya ukhuwah Islamiyah.
Kalau mengenai tokoh-tokoh wanita yang banyak menyumbang kepada Islam, begitu banyak kisah yang diceritakan oleh ustaz sehingga tidak tertulis di sini. Antara contoh kisah-kisah yang disebut oleh Ustaz adalah kisah Asiah yang menyelamatkan nabi Musa yang dialirkan atas sungai, kisah Khadijah yang Rasulullah sendiri pernah bersabda bahawa Allah tidak pernah menggantikannya dengan orang yang lebih baik darinya, kisah Asma' yang mendapat gelaran 'wanita yang mempunyai dua tali pinggang' yang diambil oleh kisahnya memutuskan tali pinggangnya menjadi dua, lalu digunakannya untuk mengikat makanan yang dibawa olehnya ketika menaiki Gua Hira'.
Ada juga kisah Zainab iaitu anak Rasulullah, yang sabar menghadapi dugaan apabila suaminya Abul Ash enggan memasuki Islam. Abul Ash yang menjadi tawanan perang oleh tentera Muslimin, dilepaskan dengan syarat dia melepaskan Zainab untuk berhijrah ke Madinah.
Zainab yang ketika itu 4 bulan mengandung, berhijrah ke Madinah dengan hati yang cukup berat. Dalam perjalanannya ke Madinah, dia dihalang oleh segerombolan musyrikin lalu dia terjatuh, dan dia keguguran. Dipendekkan cerita, suaminya terbuka hati untuk memeluk Islam. Setelah setahun mereka bersatu kembali, Zainab meninggal dunia oleh kerana penyakit yang dihidapinya sejak kegugurannya yang lalu. Dialah wanita yang tidak pernah menyerah dan berputus asa :')
Jika dihayati kisah-kisah perjuangan mereka, terlalu sedikit keringat dan pengorbananku jika hendak dibandingi dengan mereka. Ibarat langit dan bumi. Terlalu hebat. Aku ingin menjadi seperti mereka.
Hari yang last ada forum BaitulMuslim (wee) . Panelist-panelist yang begitu hebat, semuanya isteri -isteri kepada pendakwah. Walaupun bergelar doktor, ibaratnya kerjaya doktor itu adalah part time, manakala dakwah itu full time. Untuk menjadi isteri kepada seorang pendakwah yang semestinya akan sibuk ke sana ke sini, ianya penuh dengan cabaran. Aku mendengar cerita mereka dengan mulut yang terlopong. Dahsyat. Aku membayangkan diriku 10 tahun akan datang, mengangkut anak-anak ke tempat program bersama suami lol (err berangan!).
InsyaAllah, semoga aku dan sahabat-sahabatku akan terus istiqamah dengan jalan ini. Oh Allah, aku jatuh cinta dengan jalan ini, tidak mampu ku ucapkan kemanisannya dengan kata-kata. Terima kasih atas nikmat ukhuwah ini, nikmat jemaah, nikmat Islam, nikmat hidup , semua nikmat yang telah engkau berikan kepadaku :)
Akhir kata, "tanzim dirahsiakan, fikrah dizahirkan dan disampaikan" :) :)

No comments:
Post a Comment